mutakhir

Pendaki wanita cedera diselamatkan

Oleh Recqueal Raimi

PENDAKI wanita yang cedera selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Kinabalu di Kilometer 6.7, Ranau diselamatkan Pasukan Mencari Dan Menyelamat Di Gunung (MOSAR), semalam.

Dalam kejadian 9.55 pagi itu, pendaki warga Belgium dikenali Vanden Broere Elien, 30, cedera paha kiri sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 10 pagi dan mengerahkan 11 anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) MOSAR ke lokasi kejadian.

Katanya, lapan anggota PBB MOSAR yang diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di Balai Mosar, Laban Rata dikerah memberi bantuan awal di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan MOSAR menemui mangsa terbaring namun berada dalam keadaan stabil.

“Mangsa memaklumkan tidak mampu bergerak dan terus diberikan rawatan awal di lokasi,” katanya dihubungi hari ini.

Ridwan berkata, pasukan MOSAR kemudiannya mengangkat mangsa menggunakan usungan sehingga Timpohon Gate sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan utiliti EMRS untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan 2.45 petang,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 11:47am
d