mutakhir

'Bantulah ibu saya'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“DEMI keselamatan dan keselesaan emak, saya merayu pihak berkuasa mengambil dan menempatkan emak di rumah jagaan walaupun sedih dan tidak rela berbuat demikian,” rayu Aslin Sabtu.

Wanita berusia 39 tahun itu yang juga menjalani rawatan psikologi berkata, dia tidak mempunyai pilihan kerana tidak mampu menjaga kebajikan ibunya, Norliah Seman, 64, yang terlantar selepas terbabit dalam kemalangan tujuh bulan lalu.

Menurutnya, walaupun tinggal di rumah projek perumahan rakyat (PPR) bersebelahan PPR ibunya, wanita itu mengakui tidak mampu menguruskan penjagaan diri ibunya kecuali makan dan minum hariannya.

“Sejak cedera di kaki kanan akibat dilanggar kereta pada 5 Februari lalu, ibu tidak boleh berjalan dan terpaksa bergantung kepada bantuan saya atau ibu saudara yang tinggal bersebelahan rumah untuk menguruskan diri.

“Sedih juga bila terpaksa mengurung ibu sendiri di rumah jika keluar menguruskan persekolahan tiga anak yang masih kecil tambahan pula saya dan semua adik-beradik lain tidak sihat untuk menjaganya sepenuh masa.

“Pernah beberapa kali terjadi ibu keluar rumah dengan mengengsot dan hampir dilanggar kereta penduduk di taman perumahan berhampiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Godek, Semabok di Melaka hari ini.

Norliah berkata, ketika ini ibunya tidak menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kecuali sumbangan simpati orang ramai dan Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) yang menyumbang tiga pek lampin pakai buang setiap bulan.

“Melihat keadaan ibu yang terlantar dan luka di kaki yang semakin teruk, saya dan ibu saudara sedih kerana tidak dapat memberi sepenuh perhatian untuk menjaganya setelah kematian bapa Sabtu Dagang, 22 tahun lalu.

“Kalau JKM tidak beri ibu bantuan tunai bulanan pun tak mengapalah, asalkan ibu boleh ditempatkan di rumah jagaan orang-orang tua atau hospital sehingga keadaannya benar-benar pulih demi keselamatannya.

“Sekarang ini pun, ibu terpaksa bergantung kepada lampin pakai buang yang memerlukan penjagaan sepenuh masa selain luka di kaki yang semakin merebak,” katanya.

Sementara itu, ibu saudaranya yang juga kakak ipar Norliah, Suri Dagang, 60, berkata, setiap hari sejak tujuh bulan lalu dia dan Aslin akan bergilir-gilir untuk memasak dan menguruskan adik iparnya itu.

“Namun pernah juga beberapa kali kami terpaksa membiarkan Norliah menunggu lama untuk membersihkan najis atau memberinya makan kerana perlu menguruskan keluarga sendiri.

“Keadaan kesihatan saya pun tidaklah begitu baik selain perlu menjaga dua cucu yang masih kecil dan anak yang bakal melahirkan cucu ketiga tidak lama lagi,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 4:53pm
d