mutakhir

Polis masih buru Farhash

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

POLIS masih memburu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang sehingga kini gagal menyerah diri di balai polis berhubung dakwaan terbabit dalam kes rusuhan bersenjata di Kompleks Sukan Arena All Stars, Taman Dagang Permai, Ampang, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Farhash masih belum tampil untuk membantu siasatan kes berkenaan dan diminta berbuat demikian.

“Sehingga kini seramai lima tangkapan telah dibuat terdiri daripada empat lelaki (termasuk pengadu) berumur 22 tahun hingga 38 tahun.

“Seorang daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah serta dikehendaki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berkaitan kes dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan. Empat suspek akan dibebaskan dengan jaminan Polis hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadzil berkata, suspek utama, Farhash masih gagal dikesan dan diarahkan untuk tampil segera bagi membantu siasatan.

“Kesemua lelaki yang ditahan bekerja dalam bidang kejurulatihan muay thai,” katanya.

Khamis lalu, pengadu kes ini membuat laporan polis untuk menarik semula laporan yang dibuat.

Kes akan dirujuk kepada pihak Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk arahan lanjut.

Pada 9 malam 31 Ogos lalu, seorang individu mengadu diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi dalam satu kejadian rusuhan bersenjata dipercayai membabitkan lebih 12 lelaki tempatan.

Individu itu dilaporkan mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang dan luka anggota badan.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 6:40pm
d