mutakhir

UPSR tetap diteruskan di Sarawak

Oleh Goh Pei Pei

PEPERIKSAAN Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sarawak tetap diteruskan walaupun sekolah dijangka ditutup berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan 201.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sekolah perlu ditutup sekiranya bacaan berada pada tahap sangat tidak sihat.

“Pihak pengurusan sekolah diminta memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing termasuk meminta murid atau pelajar memakai topeng muka.

“Pengetua atau guru besar boleh membuat pengumuman penutupan sekolah jika kawasan mereka mempunyai kualiti udara yang sangat tidak sihat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seramai 40,448 murid menduduki UPSR di Sarawak yang bermula Rabu lalu dan bersambung 10 hingga 12 September ini.

Ismail berkata, 200,000 sudah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan sebelum diedarkan kepada murid atau pelajar sekolah.

Tambah beliau, 12 tompok panas dikesan di Sarawak, 1,087 di Kalimantan dan 306 di Sumatera.

Setakat jam 3 petang, bacaan IPU di Samarahan dan Kuching adalah sangat tidak sihat yang merekodkan 201 dan 218.

Sementara itu, lima lagi stesen mencatatkan bacaan tidak sihat termasuk Miri (115), Samalaju (150), Sarikei (134), Sri Aman (178) dan Kuala Baram (115).

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 97 kebakaran hutan dan tanah gambut sejak 1 September.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 8:04pm
d