mutakhir

Sudah pelawa, pak cik itu tolak...

Oleh Redzuan Muharan

“SEHINGGA kini, saya masih teringatkan nasib mereka berdua dan berasa sedih kerana tidak dapat membantu,” kata Muhamad Firdaus Mohd Pauzi, 19.

Muhamad Firdaus yang juga penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Port Dickson memberi reaksi mengenai pengalamannya bertemu dengan dua beranak iaitu bapa dan anak perempuannya dalam keadaan menyedihkan.

Bercerita lanjut, Muhamad Firdaus berkata, dia bertemu dengan dua beranak itu ketika berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Maran di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ketika dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu, Terengganu.

Menurutnya, dia bersama keluarga iaitu ayah, ibu, kakak dan adiknya berhenti di situ untuk makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan.

“Saya dan keluarga bertemu dengan dua beranak itu kira-kira 3 petang semalam dan secara kebetulan kerana mereka berehat di pondok yang sama.

“Kami kemudiannya menawarkan makanan yang dibawa kepada mereka dan selepas makan, ayah bertanya lebih lanjut kerana simpati melihat tangan kiri pak cik itu yang berbalut.

“Ketika itu, barulah dia (pak cik) menceritakan yang anak perempuannya sakit jantung berlubang serta buah pinggang dan mereka dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Institut Jantung Negara (IJN) dengan motosikal.

“Memandangkan kami menuju ke destinasi yang sama, ayah pelawa mereka naik kereta bersama tetapi pak cik itu menolak pelawaan itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhamad Firdaus berkata, selepas 10 minit meneruskan perjalanan, dia sekeluarga sekali lagi terserempak dengan dua beranak itu di LPT.

Pada waktu itu, dia melihat remaja perempuan berkenaan dalam keadaan lesu mungkin kerana keletihan disebabkan perjalanan yang panjang.

“Keadaan itu membuatkan kami tidak sampai hati dan ayah cuba menahan motosikal mereka untuk mempelawa naik kereta bersama tetapi sekali lagi ditolak.

“Akhirnya, ayah menghulurkan duit walaupun berasa ralat kerana tidak dapat membantu mereka,” katanya.

Menurut Muhamad Firdaus, dia tidak sangka perkongsian pengalamannya mendapat perhatian warganet tetapi gembira jika ia dapat membuka mata masyarakat.

“Saya pernah kehilangan abang sulung yang meninggal dunia akibat barah darah jadi faham dengan apa ditanggung mereka. Diharapkan perjalanan mereka ketika itu dipermudahkan,” katanya

Perkongsian itu dimuat naik Muhamad Firdaus di Twitter petang semalam dan bukan hanya mengundang sebak dalam kalangan warganet tetapi turut mencuri perhatian pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa.

Menerusi ciapan balas, Neelofa berdoa perjalanan dua beranak itu dipermudahkan dan meminta warganet berkongsi maklumat lanjut.

Pelakon berkenaan turut mengharapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memberi bantuan bagi memudahkan urusan dua beranak itu.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 9:00pm
d