mutakhir

3,000 solat Maghrib bersama Zakir Naik [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

LEBIH 3,000 masyarakat Islam pelbagai kaum menghadiri solat berjemaah pada program Malam Islam Bersatu yang dihadiri penceramah bebas Dr Zakir Naik di Masjid Cina, Krubong, Melaka, hari ini.

Ketibaan pendakwah bebas terkenal itu sejurus azan Maghrib disambut Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen selaku penganjur atas kapasitinya sebagai pengerusi masjid berkenaan.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Sejurus tiba, Zakir kemudian mengimamkan solat Maghrib diikuti dengan bacaan Yasin yang dipimpin

Abdul Halim.

Selesai bacaan Yasin, Dr Zakir dijadual mengimamkan solat sunat dan Isyak sebelum program dijangka tamat pada 9.30 malam.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Adly Zahari melarang pendakwah kontroversi itu datang ke Melaka untuk berceramah bagi menjaga keharmonian rakyat negeri ini, namun menyifatkan program malam ini hanya membabitkan solat Maghrib berjemaah dan solat sunat tanpa program ceramah.

Susulan itu, Mohd Rafiq yang juga Ahli Majlis Tertinggi BERSATU dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka mendakwa Adly tidak membantah kehadiran penceramah kontroversi itu selagi ianya tidak membabitkan ceramah seperti saranan polis.

Isnin lalu, Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah dilaporkan berkata, polis tidak mempunyai halangan dengan kehadiranDr Zakir setelah dimaklumkan tiada sebarang ceramah sebaliknya hanya menunaikan solat sunat di masjid berkenaan.

“Program itu tiada apa-apa ceramah yang akan disampaikan, oleh sebab itu polis tiada halangan.

“Cuma solat berjemaah (beribadat) saja, tiada masalah. Saya tidak bagi kebenaran cuma tiada halangan,” katanya dipetik berkata

Semalam Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew pula dipetik berkata, beliau kesal kerana tindakan Mohd Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, menjemput pendakwah berkenaan seolah-olah menggunakan sentimen agama atas tujuan politik dan kepentingan peribadinya.

Pada 16 Ogos lalu, Dr Zakir dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, bagi memberi keterangan susulan mengeluarkan kenyataan didakwa boleh mengancam keamanan negara.

Sebelum ini, beliau yang juga pemegang taraf Penduduk Tetapdidakwa memberi kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Dr Zakir dalam satu syarahan di Kelantan, awal Ogos lalu, didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan penganut Hindu di negara ini lebih percaya kepada Perdana Menteri India berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.

Susulan itu, polis menerima 115 laporan berkaitan Dr Zakir dan membuka kertas siasatan terhadapnya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 9:22pm
d