mutakhir

Perlu akui laporan kemiskinan Alston

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim gesa kerajaan melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengakui laporan yang disediakan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Philip Alston terhadap kadar kemiskinan di Malaysia adalah benar.

Beliau berkata, satu bencana dan kegagalan terbesar polisi sesebuah kerajaan adalah apabila menerima maklumat yang salah didiagnosis.

“Bulan lalu, kita dikejutkan dengan dakwaan Alston bahawa statistik analisis kemiskinan di negara kita iaitu 0.4 peratus adalah salah.

“Memang sukar untuk menerima kenyataannya itu, saya juga sukar untuk menelan kata-katanya itu. Namun, berdasarkan tinjauan di perkampungan Melayu, ladang-ladang yang ada masyarakat India dan perkampungan nelayan berbangsa Cina serta Orang Asli, semua mereka berada di tahap kemiskinan lebih teruk.

“Jadi pendapat Alston bukannya mengejutkan saya, mungkin mengejutkan mereka yang tidak peduli apa yang berlaku di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada di majlis Ulang Tahun Ke-90 Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur serta Selangor (KLSICCI) di Kuala Lumpur hari ini.

Alston pada bulan lalu mengadakan sidang media dengan mendakwa kadar kemiskinan sebenar di Malaysia jauh lebih tinggi seperti negara lain iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus.

Anwar berkata, kerajaan perlu mempelajari pengalaman lalu apabila rakyat menolak kerajaan sebelum ini yang sebahagian dasar dibuat bersifat perkauman baik secara halus mahupun kasar.

Malah, beliau berkata, segala dasar yang bersifat ketaksuban agama dan kaum perlu ditolak.

“Polisi kita sudah terbukti salah, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang jelas gagal kerana selepas 40 tahun, kemiskinan dalam masyarakat Melayu tidak dapat diatasi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu melakukan segala-galanya bagi mendorong ekonomi menjadi lebih baik sekali gus menarik pelaburan asing.

Katanya, sektor swasta juga perlu memainkan peranan membantu kerajaan memulihkan ekonomi.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali menolak dakwaan Alston yang mendakwa Malaysia tersalah menilai kadar kemiskinan penduduk.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 11:43pm
d