mutakhir

Nak ikut jejak abang

Oleh Rosli Ilham

“DIA minta saya ceritakan wajah dan kisah arwah abangnya dan saya tidak sangka itu sebenarnya petanda arwah akan meninggalkan kami buat selamat-lamanya,” kata Nik Muhammad Khairul Azman Mohd Nor, 48.

Menurutnya, adiknya, Nik Muhammad Asri, 20, maut selepas motosikal Honda EX5 yang ditunggang merempuh belakang sebuah motosikal jenis sama di Kilometer 17, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, dekat Ketengah Jaya, kira-kira jam 8.20 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang bekerja kontrak di Pusat Pemprosesan Gas GPP 5 & 6 dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Kerteh 6 dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Nik Muhammad Khairul Azman berkata, adiknya baru menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Seni Bina Industri di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Sementara dia menyambung peringkat ijazah dalam bidang sama, arwah mengambil keputusan bekerja kontrak.

“Kami lima beradik bersama ayah dan ibu berbincang untuk pergi beramai-ramai meraikan majlis konvokesyen arwah dijadualkan pada 17 September, namun kini hanya tinggal kenangan,“ katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun.

Menurutnya, seorang lagi adiknya, Nik Mohd Syukri Rizal juga meninggal dunia akibat kemalangan di Gong Badak ketika menuntut di UniSZA pada 1997.

“Malam Selasa lalu, arwah (Nik Muhammad Asri) ada datang ke rumah dan saya mengajaknya keluar makan di kedai berdekatan.

“Ketika di kedai makan, arwah beria-ria meminta saya menceritakan kisah arwah abangnya, Nik Mohd Syukri.

“Memandangkan arwah tidak pernah bertemu arwah abangnya, saya ceritakan rupa abangnya serta kisah abangnya yang rajin belajar dan gemar bekerja ketika cuti semester. Arwah (Nik Muhammad Asri) memberitahu saya dia akan mengikut jejak arwah abangnya itu,” katanya.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan arwah terbabit kemalangan dan bergegas ke lokasi kejadian, namun sedih apabila adik bongsunya didapati sudah tidak bernyawa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, penunggang sebuah lagi motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu hanya cedera ringan dan mendapat rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

“Jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk pengebumian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 6:45am
d