mutakhir

Kumpul 2,000 artifak

Oleh Ahmad Ismail

MUZIUM Mini Tok Pit terletak di Kampung Paya Jakas, Jementah, Segamat menyimpan 2,000 artifak dan barang antik termasuk yang wujud sejak kurun ke-17.

Wujud sejak lebih 20 tahun lalu, ia diasaskan seorang penduduk dikenali Allahyarham Pit Buntal yang meninggal dunia pada 10 Februari 2016 ketika berusia 92 tahun.

Baharum Pit, 65, berkata, arwah bapanya dikenali penduduk setempat dan kenalan luar Segamat dengan panggilan Tok Pit kerana memiliki pelbagai barangan antik seawal 1600-an.

Katanya, Tok Pit mewujudkan mini muzium bagi membolehkan orang ramai melihat dengan lebih dekat ribuan artifak dalam simpanannya secara percuma.

“Antara barangan unik termasuk kalendar daripada tembikar kegunaan masyarakat Cina dipercayai pada 1600 namun kelihatan seperti fungsi sebuah alat penentu waktu.

“Barangan lain dalam simpanan ialah pelbagai kamera antik, senjata tajam serta batu lesung yang semuanya hasil usaha arwah mencari di sekitar Segamat dan serata Malaysia.

“Ada antara barangan itu disumbangkan kenalannya, penduduk setempat dan sebahagiannya dibeli. Malah, saya membawa pulang pelbagai barangan antik termasuk pinggan, gelas, jam tangan dan lampu minyak tanah dari Eropah dan serata Asia ketika menjadi anak kapal pada 1976 sehingga 1986,” katanya.

Menurutnya, pengalaman bekerja di lapan kapal selama 10 tahun membolehkannya membeli pelbagai barangan antik untuk menambah koleksi keluarga.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan mini muzium Tok Pit kerana ia boleh digunakan sebagai bahan rujukan pelajar sekolah, penduduk dan menjadi tarikan pelancong ke Jementah dan daerah ini.

“Malah, ia adalah amanah arwah kepada saya. Sebelum ini, arwah pernah ditawarkan harga lumayan oleh pengumpul barangan antik namun menolaknya dengan baik dengan alasan wang bukan yang diinginkan dengan mengumpul barangan antik itu,” katanya.

Menurutnya, baru-baru ini wakil Yayasan Warisan Johor melakukan dokumentari pelbagai barangan tersimpan di mini muziumnya itu.

“Semua barang bukan mudah diperoleh dan ia antara peringatan kepada generasi ketika ini kerana ia digunakan penduduk ketika penjajahan sebelum kemerdekaan tanah air.

“Saya berpendapat, ia juga membuktikan kreativiti penduduk ketika itu walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Sebagai contoh, bayu lesung kayu untuk mengasingkan kulit padi dan menghasilkan beras hanya satu atau dua di setiap kampung dan dikongsi semua penduduk, sekali gus membuktikan tahap permuafakatan mereka.

“Lampu gas terhad. Bukan semua penduduk mampu memilikinya namun berkongsi dan meminjamkan antara satu sama lain pada majlis perkahwinan dan majlis kenduri,” katanya.

Baharum berkata, dia berusaha membukukan semua barang antik yang dikumpul arwah bapanya untuk menerangkan nama, tahun digunakan dan bagaimana masyarakat tempatan menggunakannya.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 8:15am
d