mutakhir

Isu Zakir Naik: Menteri, MP antara 5 dipanggil polis [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS akan memangil lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran kerana membuat kenyataan menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap Dr Zakir Naik.

Mereka yang akan dipanggil adalah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lima individu ini akan dipanggil minggu depan bagi dirakam percakapan susulan laporan polis dibuat Dr Zakir.

Katanya, ada dua laporan polis berkaitan Dr Zakir iaitu satu berkaitan isu Dr Zakir Naik yang didakwa meminta agar kaum Cina keluar dari Malaysia dengan mendakwa bangsa India di Malaysia tidak menyokong Perdana Menteri.

“Satu lagi dibuat Dr Zakir sendiri ke atas lima individu kerana membuat kenyataan menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap beliau.

“Kertas siasatan laporan polis ke atas Dr Zakir berkaitan juga diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dan menunggu arahan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar di Lapang Sasar Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, hari ini.

Huzir berkata, Dr Zakir Naik dan beberapa saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan dan kertas siasatan ditaklimatkan kepada Pejabat Peguam Negara di mana masih menunggu keputusan serta arahan lanjut.

“Kedua kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 2:31pm
d