mutakhir

Memuliakan al-Quran 'terbuang'

Oleh Norsyazwani Nasri

JABATAN Agama Islam Sarawak (JAIS) mewujudkan Pusat Pemuliaan Bahan dan Teks yang Mengandungi Ayat Suci al-Quran bagi memelihara dan memuliakan kitab suci itu.

Pengarahnya, Ustaz Khalidi Ibrahim berkata, setakat ini tiga pusat itu diwujudkan di Sarawak bersebelahan masjid As-Syakirin Bintulu, masjid Darul Hana Kuching dan yang terbaru di Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan.

“Kita tidak mahu ayat suci al-Quran disepah sana-sini, dibuang ke dalam tong sampah, menjadi pembungkus makanan dan sebagainya.

“Penubuhan pusat ini adalah satu langkah yang kita ambil untuk memelihara dan memuliakan kitab suci Al-Quran agar tidak dibuang sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kesyukuran dan Pelancaran Pusat Pemuliaan Bahan dan Teks yang Mengandungi Ayat Suci al-Quran di Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan, Kota Samarahan, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembinaan mesin pemuliaan itu adalah inisiatif JAIS bersama Masjid Al-Muttaqin Bahagian Samarahan.

“JAIS membiayai pembelian mesin pemuliaan al-Quran ini dari Johor Bahru sebanyak RM49,000.

“Selain al-Quran masyarakat Islam di sekitar Serian dan Samarahan juga boleh menghantar kad undangan majlis perkahwinan yang mengandungi ayat suci al-Quran untuk dilupuskan di sini,” katanya.

Beliau berkata, JAIS membuat garis panduan mengenai cara melupuskan al-Quran bagi menjaga kemuliaan kitab suci itu yang mana debunya selepas dibakar perlu dihantar ke laut.

“Ia juga boleh ditanam dalam tanah yang tidak dilalui atau dipijak orang ramai.

“Kita mencadangkan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengendalikan pusat pemuliaan ini khususnya pihak masjid dan surau di Sarawak yang mempunyai kemampuan,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 3:08pm
d