mutakhir

Pegawai perubatan buli kakitangan pejabat kesihatan?

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesahkan menerima laporan dakwaan buli di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang tular di Facebook (FB) sejak semalam.

Pengarahnya, Dr Sirajuddin Hashim berkata, pihaknya masih meneliti laporan pihak berkaitan berhubung kes berkenaan.

“Kes ini (buli) masih dalam siasatan kami dan masih terlalu awal untuk saya beri sebarang komen.

“Saya juga meminta semua pihak tidak terlalu awal mengeluarkan sebarang spekulasi dan berikan ruang kepada kami untuk melakukan siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam tular satu kenyataan di FB menerusi satu akaun peribadi yang mendakwa dirinya bekas pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) .

Individu itu mendakwa dua kakitangan di sebuah PKD di Perlis menjadi mangsa buli oleh dua penyelia berpangkat pegawai di tempat kerja mereka.

Individu terbabit turut mendakwa seorang daripada individu terbabit terpaksa menerima rawatan psikiatri akibat tidak tahan dibuli oleh dua penyelia berkenaan.

Beberapa salinan tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp, rakaman suara dan satu laporan polis yang dibuat seorang daripada individu terbabit turut ditularkan.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 5:04pm
d