mutakhir

Nasib baik terhidu bau hangit

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

SERAMAI 12 penumpang dan dua pemandu bas ekspres dua tingkat terselamat selepas sempat keluar dari kenderaan itu yang terbakar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Kangsar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, bas dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah itu berhenti di R&R itu selepas penumpang terhidu bau hangit dari bahagian enjinnya.

Seorang penumpang bas, Nur Syakila Abd Malik, 21, berkata, dia sudah terbau hangit sejak bas itu menuruni Terowong Menora lagi, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana tidak menyangka ia akan terbakar.

“Saya kemudian tidur semula dan dikejutkan penumpang yang meminta turun kerana berlaku kebakaran.

“Selepas keluar dari bas, saya terlihat api kecil serta asap di bahagian belakang bas.

“Pemandu bas kemudiannya cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam api yang ada di dalam bas dan alat pemadam api milik PLUS,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Nur Syakila berkata, sebaik api kecil itu berjaya dipadamkan, pemandu cuba mengeluarkan beg penumpang yang disimpan di ruangan bawah sebelum api kembali marak.

“Hanya barang disimpan di bahagian bawah sahaja selamat sementara barang diletakkan di atas bas termasuk beg duit saya tidak dapat diselamatkan kerana saya tidak berani untuk naik semula mengambilnya.

“Namun saya bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku kepada saya dan semua penumpang bas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, bas berkenaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu, namun ia tidak membabitkan kemalangan jiwa.

“Bas ini dinaiki 12 penumpang serta dua pemandu bas dan, mereka keluar dengan selamat sebelum api merebak.

“Pihak bomba, PLUS dan Propel (Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad) turut membantu di lokasi kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan dibantu BBP Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.57 tengah hari.

Beliau berkata, bas berkenaan musnah 90 peratus dan api berjaya dikawal sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada 3.48 petang.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 5:58pm
d