mutakhir

Gotong-royong bersih Terengganu sempena MMS

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

BIASANYA ketika program Minggu Mesra Siswa (MMS), penuntut baru lebih cenderung kepada aktiviti sukan, persembahan dan permainan di dalam kampus.

Namun berlainan dengan 1,710 siswa baharu Ijazah Sarjana Muda (ISM) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menyertai Program Hari Sukarelawan di kawasan sekitar Kuala Terengganu sempena MMS 2019/2020.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh berkata, program berbentuk sukarelawan itu pertama kali dianjurkan membabitkan penuntut baru.

Beliau berkata, ia bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penuntut serta memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat bagi melaksanakan kerja sukarelawan dan komuniti tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

“Program itu mewujudkan identiti baru dalam kalangan masyarakat serta menaikkan nama UniSZA di mata masyarakat terutama mereka yang tinggal di Terengganu.

“Kami mahu membantu masyarakat Terengganu khususnya dalam menitikberatkan masalah kebersihan dan bersesuaian dengan tema kemerdekaan tahun ini, Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih,” katanya.

Afandi berkata, menerusi program terbabit penuntut dibahagikan kepada beberapa kumpulan di kawasan terpilih untuk melakukan aktiviti bersama komuniti luar.

Beliau berkata, peserta terbabit dengan aktiviti gotong-royong membersih kawasan, mengecat dan melukis mural dewan serbaguna, penanaman pokok, membersihkan kubur dan memberi bantuan kepada komuniti memerlukan.

Sementara itu, penuntut Perubatan dan Pembedahan, Iqbal Zahim Mustapha Kamal, 19, berkata dia bertuah kerana diberi peluang melakukan aktiviti kemasyarakatan, sekali gus mengenali budaya penduduk tempatan di Terengganu.

“Saya dan rakan baru dapat mengenali komuniti di sini dan belajar loghat Terengganu sambil mengutip sampah di sekitar pantai Seberang Takir.

“Pada masa sama, kami dapat melihat keindahan Jambatan Angkat yang menjadi kebanggaan terbaru di negeri ini,” katanya yang berasal dari Kuantan.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 8:18pm
d