mutakhir

150,000 kunjungi Festival Royal Floria Putrajaya 2019

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

FESTIVAL Royal Floria Putrajaya 2019 bermula 31 Ogos hingga hari ini di Taman Botani Putrajaya, Presint 1 mencatatkan kehadiran lebih 150,000 pengunjung sepanjang sembilan hari ia berlangsung.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, jumlah berkenaan meningkat berbanding kehadiran 110,000 pengunjung tahun lalu.

Beliau berkata, peningkatan itu menunjukkan sokongan rakyat terhadap Festival Royal Floria Putrajaya iaitu satu-satunya pameran bunga dan taman bertaraf antarabangsa di Malaysia.

“Justeru, saya berharap badan korporat dapat memberikan sokongan dalam bentuk tajaan bagi membantu kos penganjuran acara ini untuk festival pada tahun depan.

“Sekiranya semua pihak memberi kerjasama dan sokongan, saya pasti Festival Royal Floria Putrajaya 2020 mampu menjadi platform kepada Putrajaya dan Malaysia untuk mewujudkan sinergi kerjasama pintar antarabangsa dalam arena pameran bunga-bungaan di Rantau Asia Pasifik dan memartabatkan Royal Floria Putrajaya di dalam peta dunia.

“Ini sudah tentu memberi kelebihan kepada Taman Botani Putrajaya membina jaringan serta kolaborasi dengan pelbagai pihak dalam bidang botani, landskap, hortikultur, penyelidikan, pembangunan inovasi, produk pertanian dan pengkomersialan yang berpotensi besar untuk menyumbang kepada sektor ekonomi, pelancongan, penyelidikan dan pembangunan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Royal Floria Putrajaya, hari ini. Hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Aminuddin Hassim.

Pada masa sama, Khalid berkata, pemilihan tempat penganjuran festival iaitu di Taman Botani Putrajaya amat berjaya sebagai kesinambungan pelaksanaan untuk tahun seterusnya kerana ciri unik sebagai ‘Mother of All Gardens’ (ibu segala taman) yang mewakili 12 taman metropolitan di Putrajaya.

Beliau berkata, ia selaras dengan hasrat untuk memartabatkan taman awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita, beliau mengakui kelemahan dan rungutan pengunjung berhubung penganjuran festival berkenaan pada tahun ini.

“Memang ada kelemahan tertentu, tetapi jika diadakan di Anjung Floria turut hadapi kesesakan lalu lintas, pengangkutan dan sebagainya.

“Insya-Allah kita akan perbaiki apa yang ada di sini supaya lebih baik jadi, ‘post-mortem’ akan dibuat selepas ini,” katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat merasmikan Festival Royal Floria Putrajaya 2019 pada 30 Ogos lalu.

Buat julung kalinya, penganjuran pada tahun ini diadakan di Taman Botani Putrajaya iaitu selepas 10 tahun di Anjung Floria, Presint 4 dengan tema bunga orkid dan bonsai.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 8:20pm
d