mutakhir

Peralatan navigasi rosak

Oleh Fardy Bungga

KEROSAKAN peralatan navigasi menyebabkan sebuah kapal dagang terkandas di perairan Pulau Kalampunian di Kudat hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kudat Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 5.10 pagi.

Menurutnya, sebuah bot ronda APMM dikerah ke lokasi untuk membuat pemantauan selepas menerima maklumat mengenainya.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada tumpahan minyak berlaku di lokasi dan semua kru kapal seramai 15 orang selamat tanpa kecederaan serius.

“Maklumat awal mendapati punca kejadian disebabkan oleh peralatan navigasi kapal mengalami kerosakan,” katanya menerusi kenyataan media.

Kapal yang berdaftar di Kuching, Sarawak itu dikatakan dalam pelayaran dari Sandakan menuju ke Kemaman, Terengganu.

Boon Chin berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta Pejabat Taman-Taman Sabah untuk tindakan selanjutnya.

“Kita juga difahamkan, ejen kapal dagang berkenaan juga sudah membuat laporan kejadian kepada pihak Jabatan Laut Kota Kinabalu.

“Proses menunda kapal akan dilaksanakan oleh agen kapal berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 8:48pm
d