mutakhir

Terharu lihat keadaan di Palu

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“SAYA terharu melihat keadaan di Palu (Indonesia). Ia memberi kesedaran bahawa usaha mengangkat syiar Islam perlu diteruskan walaupun di mana saja kita berada,” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail.

Beliau berkata demikian selepas melihat keadaan di Palu, Sulawesi selepas menyertai delegasi agensi agama bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) minggu lalu bagi melihat sendiri gerak kerja kemanusiaan dan kaedah pelaksanaan untuk dijadikan panduan kakitangannya.

Palu dilanda gempa bumi pada 28 September tahun lalu dengan 7.5 magnitud hingga mencetuskan tsunami.

Ribuan orang dilaporkan maut dan hilang manakala beribu rumah serta bangunan runtuh akibat gegaran kuat serta beberapa kawasan lain mengalami fenomena dikenali sebagai tanah mencair.

Mohd Ajib berkata, hasil daripada misi berkenaan akan digunakan Sukarelawan Dakwah Islamiah (SUDI) JAWI untuk memastikan setiap bantuan disampaikan kepada golongan sasar dengan lebih berkesan dan tersusun.

"JAWI akan membudayakan sukarelawan untuk membantu dalam tempoh yang pantas seperti mana NGO di peringkat antarabangsa.

“Banyak yang kita pelajari memandangkan Palu adalah lokasi bencana antara terburuk dalam sejarah.

"Hasil kutipan di masjid dan sekolah di bawah seliaan JAWI, kita bantu bina perumahan sementara serta Masjid Ar Rahman yang rosak.

“Kita bersedia membantu misi yang akan datang bagi membangunkan Masjid Baitul Rahman iaitu masjid daerah di Kota Palu yang rosak teruk.

“Insya-Allah, JAWI akan terus meneroka bidang kesukarelawanan ini dengan bantuan MAPIM yang komited membantu mangsa sejak setahun lalu," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Setiausaha Agung MAPIM Zulhanis Zainol berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk bersama-sama membantu mangsa bangsa bencana di seluruh dunia.

Menurutnya, pihaknya akan menggunakan pengalaman yang ada untuk meningkatkan kemampuan sukarelawan melaksanakan tugas di lapangan termasuk kerjasama dengan NGO antarabangsa yang lain.

"MAPIM berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menggerakkan agensi agama untuk bersama-sama membantu.

“Ia adalah kerjasama yang sangat baik dalam usaha kita memupuk nilai sukarelawan," katanya.

Dalam misi itu, delegasi dibawa melihat perkembangan perumahan Teluk Palu, perkembangan pembinaan empat buah masjid serta perasmian Perkampungan Ummah di Palu.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 10:20pm
d