mutakhir

Terima kasih bomba...

Oleh Faliq Lajim

TINDAKAN pantas pegawai dan anggota dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) memadam kebakaran di kawasan parkir Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak (arah utara) mendapat pujian PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

PLUS dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya merakamkan setinggi penghargaan kepada pasukan terbabit yang mengambil masa 20 minit memadamkan kebakaran terbabit yang berlaku pada 1.55 tengah hari itu.

Menurutnya, langkah keselamatan PLUS yang menugaskan pasukan tambahan semasa cuti panjang atau musim perayaan terbukti berhasil.

“Anggota RELA yang ditugaskan untuk mengawal lalu lintas di kawasan parkir kenderaan di R&R terbabit melihat kepulan asap keluar dari bas ketika kenderaan itu memasuki kawasan terbabit.

“Pemandu bas kenderaan kemudiannya diarahkan ke zon selamat dan kesemua 14 penumpang dan pemandu bas serta pembantunya sempat keluar ke kawasan selamat.

“Pasukan BBP Kuala Kangsar dan Meru dengan jentera masing-masing serta 12 anggota tiba di lokasi kejadian pada 2.14 petang dan berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 20 minit kemudian,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, PLUS juga ingin mengesahkan bahawa kejadian itu tidak mendatangkan apa-apa kecederaan kepada pemandu serta penumpang bas terbabit.

“PLUS sentiasa menjalinkan kerjasama berterusan bersama agensi penguatkuasaan serta kecemasan bagi memastikan langkah keselamatan di lebuh raya berada pada tahap terbaik dan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Ini adalah matlamat utama PLUS bagi menjaga pelanggan di sepanjang perjalanan mereka di rangkaian lebuh rayanya,” katanya

Berita berkaitan

Nasib baik terhidu bau hangit

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 12:51am
d