mutakhir

19 maut akibat denggi

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEBANYAK 19 kematian dilaporkan daripada 7,761 kes demam denggi yang dicatatkan di negeri ini bermula awal Januari hingga akhir Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, mangsa membabitkan bayi lapan bulan sehingga warga emas berusia 95 tahun dengan lapan daripada mereka di Johor Bahru.

Katanya, angka itu menunjukkan peningkatan 101 peratus bagi kes demam denggi dan 58 peratus bagi kematian berbanding tempoh sama tahun lalu manakala jumlah keseluruhan wabak sebanyak 1,016 kes membabitkan 65 lokaliti ‘hotspot’.

“Mengikut perangkaan Pasukan Kawalan Denggi Johor, 13,700 premis kediaman iaitu 3.9 peratus daripada rumah diperiksa mempunyai pembiakan nyamuk aedes di kawasan persekitaran manakala 1,371 atau 61 peratus dari tanah lot kosong, lorong belakang dan bahu jalan yang diperiksa positif pembiakan nyamuk aedes.

“Sebanyak 378 atau 90.2 peratus positif jentik-jentik aedes di tempat pembuangan sampah, selain 55 rumah ibadat, 28 taman rekreasi, 297 sekolah serta tempat tumpuan turut positif pembiakan nyamuk aedes.

“Turut dicatatkan, sebanyak 3,460 bekas plastik, 2,132 tong tidak terbiar; 1,108 baldi, 763 tayar, 442 sistem tandas dan 426 alas pasu bunga yang diperiksa mempunyai pembiakan jentik-jentik aedes,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Johor di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda Heights, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman.

Mohd Khuzzan berkata, tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk aedes berpunca daripada tabiat dan sikap tidak menyelenggara persekitaran.

“Bayangkan jika setiap warga Johor dapat melaksanakan amalan bermula dengan diri sendiri, maka negeri ini bukan sahaja bebas risiko demam denggi, malah boleh diiktiraf sebagai negeri yang bersih.

“Masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan dalam membanteras demam denggi terutama di Johor dan kerajaan negeri sentiasa bersedia menyokong pelaksanaan ke arah membentuk suasana bebas denggi,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 6:20am
d