mutakhir

Suspek dah kena cekup...

Oleh Muhamaad Razis Ismail

POLIS mengesahkan sudah menahan beberapa suspek susulan penemuan mayat dengan kesan terbakar dalam anak sungai berdekatan jambatan Kampung Puyu, Jalan Semerak, di Pasir Puteh, minggu lalu.

Mayat lelaki berusia 20-an itu ditemui penduduk tempatan pada 3 petang, 4 September lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, susulan maklumat, polis menahan beberapa suspek berusia 20-an hingga 50-an semalam dan kelmarin.

Katanya, semua suspek terdiri daripada lelaki dan wanita itu ditahan di beberapa lokasi berasingan.

“Beberapa suspek ditahan kelmarin direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Bachok semalam. Untuk tangkapan semalam, beberapa suspek lagi dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman.

“Setakat ini, motif kejadian masih belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro pada 6 September lalu melaporkan hasil bedah siasat mendapati mayat mangsa mempunyai kesan pukul dengan objek tumpul di muka dan badan.

Selain itu, mayat mempunyai kesan luka dan terbakar 30 peratus dengan tempoh kematian dianggarkan 48 jam sebelum ditemui.

Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di dalam sungai itu.

Berita berkaitan

Sah mangsa bunuh

Mayat terapung dengan kesan terbakar [METROTV]

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 1:19pm
d