mutakhir

'Mimpi lemas jadi nyata'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“PAGI tadi, arwah beritahu dia bermimpi lemas, tak sangka pula ia betul-betul menjadi kenyataan dan berlaku hari ini,” kata Mohamad Azim Mohd Zamri.

Mohamad Azim, 16, berkata arwah Mohd Razlan Sabarudin, 15, memberitahu perkara itu kepada rakan mereka, Zafran Zamri, 14, sebelum mereka bertiga pergi memancing di Air Terjun Puncak Janing, Kuala Nerang, hari ini.

Katanya, Mohd Razlan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, dikatakan bermimpi mati lemas sebelum terjaga dari tidur, hari ini.

“Saya baru tahu daripada Zafran mengenai perkara itu dan tak sangka akan kehilangannya.

“Malah, saya kecewa kerana tidak dapat menyelamatkannya walaupun nampak dia terkapai-kapai,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Mohamad Azim berkata, kejadian berlaku pada 9.45 pagi ketika dia datang semula ke tempat dua rakannya memancing di kolam air terjun berkenaan.

Katanya, mereka datang ke situ sekitar 8.45 pagi dengan menunggang dua motosikal dan sebaik sampai, mereka berpecah untuk memancing ikan.

“Saya sudah pesan jangan mandi sebab tempat itu dalam dan mereka kata cuma nak memancing saja.

“Tapi sebaik saya sampai semula di situ, saya nampak Zafran dan Mohd Razlan tenggelam timbul, namun saya hanya sempat selamatkan Zafran dengan menarik tangannya ke tebing,” katanya.

Mohamad Azim berkata, dia tidak berani hendak terjun untuk menyelamatkan Mohd Razlan kerana mangsa sudah hanyut ke tengah kolam yang agak dalam.

Katanya, dia menjerit memanggil nama Mohd Razlan berkali-kali, tetapi mangsa terus senyap.

“Tempat kejadian itu berada atas dari tempat orang mandi.

“Saya tak sangka kejadian ini meninggalkan kenangan sedih kerana kami bertiga kawan baik dan tinggal di taman perumahan sama,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk tindakan lanjut manakala Zafran masih dirawat di hospital sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, mangsa dipercayai lemas dan tenggelam sebelum dibawa naik dengan ke tebing oleh orang awam.

“Rakan mangsa, Zhafran kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berita berkaitan

'Remaja lemas mandi kolam'

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 4:50pm
d