mutakhir

Ditahan jual telur penyu

Oleh Melvin Joni

DUA penjaja di Pasar Tamu Kubah Ria, Kuching ditahan penguat kuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) semalam kerana menjual telur penyu.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, 652 biji telur penyu dirampas daripada kedua-dua suspek.

“Suspek pertama berusia 65 tahun ditahan pada 9.45 pagi dengan memiliki 214 biji telur penyu dan suspek kedua berusia 26 tahun ditahan 3 petang kerana memiliki 438 biji telur penyu,” katanya hari ini.

Zolkipli berkata, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, sabit kesalahan kerana memburu, membunuh, menyimpan, menjual atau menggunakan haiwan yang dilindungi, pesalah boleh dipenjara setahun dan denda RM10,000 manakala bagi kes penyu yang dilindungi sepenuhnya di Sarawak, denda maksimum RM50,000 dan penjara lima tahun.

Dalam kes berasingan, Zolkipli berkata, penguat kuasa SFC dari Pejabat Wilayah Kuching merampas 17 bungkus daging babi hutan di Pasar Bandar Riyal, Kota Samarahan serta menahan lelaki berusia 62 tahun.

Beliau berkata, penjualan daging babi hutan dilarang mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Sabit kesalahan, penjual boleh didenda sehingga RM5,000 manakala pembeli pula boleh didenda sehingga RM2,000.

“Jika menyimpan lebih lima kilogram daging babi hutan, boleh dianggap mempunyai niat untuk menjualnya dan boleh didenda sehingga RM5,000,” katanya.

Justeru, beliau meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perdagangan hidupan liar supaya melaporkan kepada SFC di Kuching (019-8859996, 016-8565564), Sibu (013-8110150, 019-8883561), Bintulu (019-8223449, 019-8332737) atau Miri (019-8224566, 019-8290994).

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 9:50pm
d