mutakhir

Wartawan BH diugut bunuh

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

WARTAWAN akhbar Berita Harian (BH) menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali susulan laporan berita dikeluarkan minggu lalu.

Ugutan bunuh itu diterima menerusi emel dalam bahasa Inggeris semalam sebelum satu laporan polis dibuat pada hari sama.

Perkara itu disahkan Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid dalam satu kenyataan hari ini.

Khaidir berkata, BH tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan, malah ancaman itu akan menguatkan azam warganya untuk terus gigih membongkar kes penipuan yang mensasarkan masyarakat negara ini.

Katanya, jika ada pihak tidak puas hati terhadap mana-mana laporan akhbar itu, mereka sentiasa diberi ruang untuk menyuarakan pandangan mereka.

“Setiap laporan yang disiarkan BH adalah berdasarkan bukti yang diperoleh wartawan kami.

“Tindakan membuat ugutan adalah perbuatan pengecut dan tidak akan melentur semangat kami untuk mengejar kebenaran.

“Laporan polis sudah dibuat semalam dan kami berharap penghantar emel dapat dikesan agar tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Chin Sung Chew turut mengutuk ugutan bunuh terhadap wartawan berkenaan yang jelas satu jenayah dan meminta ia disiasat bagi membolehkan individu terbabit dibawa ke muka pengadilan.

“NUJ menerima laporan daripada cawangan The New Straits Times Press (NSTP) mengenai anggota kami/pemberita yang mendapat ancaman bunuh melalui emelnya.

“NUJ mengutuk tindakan sebegini yang bersamaan dengan kes jenayah dan sesiapa yang bertanggung jawab membuat ugutan ini perlu disiasat dan dibawa ke muka pengadilan dengan segera oleh polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 10:55pm
d