mutakhir

Air longkang 'ghaib'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“KAMI bimbang apabila mendapati air longkang ‘ghaib’ dan dipercayai meresap masuk di bawah rumah penduduk di sini,” ujar penduduk Jalan Rawa 1, Taman Perling di sini, Abdul Rahman Saayon, 59.

Menurutnya, masalah itu adalah antara isu yang sudah diadukan kepada pihak berwajib namun belum ada penyelesaian konkrit.

“Meskipun sudah setahun disuarakan, namun tidak ada perkembangan positif, biarpun ‘isu berpakej’ itu sudah disuarakan kepada pihak berkuasa tempatan menerusi ahli majlis dilantik.

“Antara isu dibangkitkan penduduk membabitkan jalan mendap, parit dan tembok longkang pecah hingga menimbulkan kebimbangan penduduk terutama dari aspek keselamatan untuk jangka panjang.

“Bahkan kehadiran gagak liar turut menjadi isu berulang, malah kehadiran haiwan terbabit menimbulkan banyak masalah terutama kesan pencemaran dibawa kepada penduduk,” katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi berkenaan berasas dan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa tempatan.

Tinjauan di lorong belakang Jalan Rawa 1 di sini, mendapati terdapat tembok batu dibina di tepi longkang di situ, yang sudah pecah.

Selain itu terdapat dua longkang di belakang rumah teres kos sederhana itu pecah mengakibatkan air yang mengalir meresap ke kawasan kediaman penduduk.

Abdul Rahman berkata dia berharap isu berkenaan ditangani pihak berwajib kerana memberi kesan jangka panjang kepada kehidupan seharian.

Bagaimanapun katanya, ia sekadar aduan saja, selain tiada tindakan diambil daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) terutama ahli majlis dilantik.

Katanya, dua kali pihaknya dihubungi ahli majlis kawasan itu, namun ia sekadar aduan saja tanpa sebarang tindakan.

“Kami sangat mengharapkan ahli majlis turun padang bagi mengenalpasti isu dibangkitkan penduduk di sini.

“Bagaimanapun aduan hanya tinggal aduan dan tiada jalan penyelesaian diambil termasuk usaha pembaikan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menolak, ada kemungkinan kediaman penduduk terdedah runtuh jika struktur parit rosak itu tidak dibaiki.

Katanya, sebelum ini, kawasan terbabit terletak di bawah Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang kini dikenali Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

“Sebelum ini masalah diajukan mendapat perhatian PBT terbabit dan membantu menyelesaikan masalah berbangkit.

“Bagaimanapun sejak diambil alih MBJB, beberapa isu diajukan tidak menampakkan sebarang penyelesaian,” katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 6:00am
d