mutakhir

Bukan hanya halal

Oleh Mahaizura Abd Malik

MAJIKAN terutama pengusaha ayam perlu memastikan pekerja sembelihan warga asing mereka bukan saja bertauliah dan memiliki sijil penyembelihan, tetapi juga mengutamakan aspek kebersihan.

Pengedar ayam kampung Aflieza Arshad, 42, berkata, majikan perlu lebih tegas memastikan kedua-dua aspek berkenaan diambil berat dalam kalangan pekerja sembelihan mereka.

“Saya pun tidak setuju jika tengok warga Bangladesh jadi penyembelih walaupun mereka Islam dan ada sijil penyembelihan kerana kadangkala mereka tidak peka tentang kebersihan dan budaya Melayu serta Islam di negara kita.

“Halal yang mereka faham cuma sembelih ayam menggunakan kaedah yang menepati syarak dengan memutuskan urat marih dan halkum menggunakan senjata tajam. Itu memang mereka buat.

“Tetapi dari aspek kebersihan lain seperti organ dalaman, najis, darah ayam dan air yang digunakan untuk mencuci ayam itu mereka tidak titik beratkan bab itu,” katanya.

Katanya, kekurangan pekerja Melayu dalam sektor penyembelihan ini juga salah satu faktor ramai majikan terpaksa menggaji warga asing terutama Bangladesh.

“Pekerja Melayu memang sangat terhad dan tidak ramai yang mahu bekerja dalam bidang ini sebab itu kebergantungan pekerja asing terutama Bangladesh ibaratnya macam tiada kesudahan.

“Golongan Bangladesh ini jugalah yang mahu sembelih dan hendak belajar tetapi dari aspek kebersihan mereka tidak ambil berat.

“Jadi seeloknya pekerja bahagian penyembelihan yang disyaratkan adalah mereka yang mengutamakan solat secara tidak langsung mereka ini menjaga kebersihan. Jika mereka mementingkan agama sudah pasti mereka melakukan kerja dengan sebaiknya bukannya asal boleh saja,” katanya.

Aflieza berkata, majikan juga perlu sentiasa memantau prosedur operasi standard (SOP) aktiviti penyembelihan termasuk proses mencuci bagi memastikan bekalan yang berkualiti dan selamat untuk pengguna terutama orang Islam.

“Sebagai pengedar ayam kampung proses, saya bukan saja memastikan ayam yang diternak datang daripada sumber baik, berkualiti dan selamat dimakan termasuk tiada suntikan hormon serta matang dalam tempoh mencukupi,” katanya.

“Tetapi saya juga sangat terperinci dalam mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal yang dikenali dan disahkan halal tentang proses penyembelihan.

“Dalam beberapa keadaan, saya sendiri turun padang ke pusat penyembelihan dan memantau tukang sembelih termasuk melihat sendiri cara pekerja mencuci ayam, malah saya juga kerap kali membantu semasa proses ini kerana mahukan ayam yang berkualiti,” katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 6:20am
d