mutakhir

Laung azan sekuat hati'

Oleh Roselan Ab Malek

“BUNYI dentuman kuat diikuti angin kencang membuatkan saya dan isteri yang sedang minum petang di dapur berlari ke ruang tamu rumah,” kata Hassan Alang Idris, 63.

Hassan dan isterinya, Ropiah Bujang, 60, antara 24 pemilik rumah di empat buah kampung di sini, yang terjejas teruk akibat dipukul ribut petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan beberapa bumbung rumah penduduk di Kampung Tersang, Kampung Jenud, Kampung Ulu Atok dan Kampung Sega Tat rosak diterbangkan ribut.

“Selepas terdengar dentuman, saya menjenguk ke dapur dan lihat bahagian dapur ranap dihempap dahan pokok menyebabkan siling serta atap runtuh.

“Kemudian saya jenguk ke luar rumah dan dapati angin cukup kencang serta berpusing. Takut melihat keadaan itu, saya terus melaungkan azan sekuat hati dan berdoa agar ribut segera berhenti,” katanya yang mendapati sekeliling rumahnya dipenuhi dahan pokok.

Hassan yang menetap di Kampung Sega Tat berkata, ketika itu hujan sangat lebat diikuti dengan ribut kencang.

Seorang lagi penduduk, Nazamuddin Noor, 46, pula berkata, ketika kejadian berlaku dia berada di kebun terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya untuk memberi makan lembu ternakannya.

“Saya berasa bimbang dan hendak balik ke rumah, tetapi tidak dapat balik kerana banyak pokok tumbang di tengah jalan.

“Apabila sampai di rumah, saya dapati garaj kereta runtuh dan menghempap dua buah kereta jenis Nissan Frontier dan Proton Bezza.

“Ketika kejadian, isteri saya berada di dalam rumah. Kerana angin terlalu kuat menyebabkan lima keping atap genting rumah tercabut,” katanya yang menetap di Kampung Kuala Atok.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Zainal Yusoff berkata, kejadian itu turut menyebabkan ada rumah yang roboh.

Katanya, ribut turut menyebabkan beberapa batang pokok tumbang dan barangan milik penduduk diterbangkan angin.

“Kampung Ulu Atok mengalami kerosakan teruk di mana beberapa buah rumah penduduk terutama bumbung rumah dipukul ribut.

“Ketika ini, anggota APM sedang melakukan kerja pembersihan bagi mengalihkan pokok tumbang yang menghempap rumah. Malah, kita turut menyediakan kit makanan kepada mangsa dan akan berusaha membantu meringankan beban mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, nilai kerugian setiap pemilik kediaman terjejas masih dalam siasatan dan setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 6:30am
d