mutakhir

Penuh kereta dengan rokok seludup

Oleh Abdul Rahemang Taiming

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 14, di Tawau merampas 820 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM64,000 dipercayai diseludup dari negara jiran di persimpangan jalan tidak berturap berdekatan bulatan Kalabakan, awal pagi tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata rampasan dilakukan selepas pemeriksaan terhadap sebuah Proton Perdana dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan, kira-kira 3 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan awal yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota PGA mendapati kereta terbabit diletakkan di bahu jalan dengan keadaan pintu bahagian pemandu terbuka.

Bagaimanapun katanya, selepas diperiksa tiada sesiapa berada dalam kereta berkenaan dan usaha mengesan pemandu tidak berjaya selepas dipercayai melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui longgokan kotak yang dibalut plastik hitam memenuhi ruang penumpang hadapan dan belakang sehingga ke ruang bonet kereta disyaki kotak rokok seludup,” katanya.

Hazani berkata, semua barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 10:21am
d