mutakhir

1MDB: Jho Low dan Rosmah sering berhubung

Oleh Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho sering berhubung dengan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas pegawai khas kepada Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata demikian dalam prosiding bicara kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, beliau tahu Jho Low rapat dengan Rosmah kerana melihat sendiri lelaki itu hadir ke majlis eksklusif yang dibuat di kediaman Najib.

SHAFEE: Dalam keterangan kamu, ada mengatakan bahawa Jho Low rapat dengan Rosmah. Bagaimana kamu tahu mereka rapat?

AMHARI: Dalam pengetahuan saya mereka rapat. Ada beberapa kali bila kami (beliau, Jho Low dan Ketua Setiausaha Sulit Najib, Datuk Azlin Alias) bertemu di hotel, Jho Low ada beritahu Rosmah menghubunginya. Rosmah juga ada memaklumkan beliau ada bercakap dengan Jho Low.

SHAFEE: Sekarang kamu beritahu mahkamah, kamu kata hubungan Najib dan Rosmah adalah rapat kerana satu Jho Low beritahu kamu dan satu lagi Rosmah sendiri beritahu?

AMHARI: Dia (Rosmah) tidak kata rapat dengan Jho Low tetapi dia selalu bercakap berhubung lelaki itu dengan penuh minat.

SHAFEE: Kamu mengatakan mereka rapat dengan bergantung apa yang dia (Rosmah) cakap?

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Ada kamu tengok betapa rapat mereka?

AMHARI: Ada ketika beberapa majlis dan pertemuan.

SHAFEE: Berbalik kepada keterangan kamu sebelum ini, kamu kata tidak tahu apa yang dibualkan antara Rosmah dan Jho Low, bagaimana kamu tahu itu Rosmah?

AMHARI: Ya saya dengar suara, ia kuat. Jho Low juga ada meminta supaya diam kerana Rosmah menelefonnya.

Terdahulu, Amhari mengakui bahawa beliau tidak mengisytiharkan pinjaman AS$200,000 oleh Jho Low.

SHAFEE: Kamu tahu Jho Low mempunyai minat dengan kerajaan terutamanya Pejabat Perdana Menteri (PMO), Bahagian Perancangan Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan?

AMHARI: Ya, Jho Low mempunyai minat terhadap kerajaan.

SHAFEE: Dan kamu tidak mengisytiharkan pinjaman ini kepada kerajaan atau mendapatkan kebenaran daripada prinsipal kamu? Kamu tahu ia boleh menjadi satu kesalahan jenayah?

AMHARI: Saya tidak sedar dan tidak tahu ia adalah satu kesalahan.

Amhari dalam keterangannya menafikan ada membantu Jho Low sejak beliau bertemu lelaki itu pada 2007 serta berhubung projek Iskandar Malaysia.

SHAFEE: Kamu sedar bahawa Jho Low berminat dengan projek Iskandar Malaysia?

AMHARI: Saya tidak tahu

SHAFEE: Kamu sedar bahawa projek ini mempunyai kerjasama dengan Mubadala (Mubadala Investment Company) dan Khazanah di mana kedua-dua pihak ini melabur di dalamnya?

AMHARI: Saya tidak tahu.

SHAFEE: (Merujuk saksi kepada Akta Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, 2007)(IRDA). Adakah kamu tahu berhubung akta ini?

AMHARI: Tidak tahu.

SHAFEE: Bukankah akta ini adalah ‘bayi’ menteri kamu? (Ketika itu Amhari bekerja di EPU dan ketuanya adalah Tan Sri Dr Mohd Effendi Norwawi)

AMHARI: Saya tidak tahu.

SHAFEE: Kamu menyediakan ucapannya?

AMHARI: Jarang tetapi ya.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 12:36pm
d