mutakhir

Janin terkeluar selepas telan ubat

Oleh Fardy Bungga

PADAH cuba menggugurkan kandungan dalam sebuah bilik hotel, seorang wanita terpaksa dikejarkan ke hospital selepas tertinggal uri dalam rahim.

Terdahulu, wanita berusia lingkungan 20-an dikatakan bertindak menelan lebih 20 biji ubat di sebuah lokasi di Kota Kinabalu.

Selain itu, wanita terbabit turut memasukkan beberapa biji ubat ke dalam kemaluannya dipercayai untuk mempercepatkan proses pengguguran.

Bagaimanapun, ketika berehat di sebuah bilik hotel di Kudat, kandungnya dikatakan terkeluar hingga menyebabkan kakitangan hotel menghubungi pihak hospital untuk bantuan, kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam.

Difahamkan, wanita bersama bayinya kemudian dikejarkan ke Hospital Kudat sebelum anaknya disahkan meninggal dunia.

Manakala wanita itu terpaksa dipindahkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut kerana uri tertinggal dalam rahimnya.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menggugurkan kandungan.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 4:41pm
d