mutakhir

Dibelasah kerana dituduh reka cerita

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

HANYA kerana mendakwa mereka-reka cerita menyebabkan seorang remaja lelaki ditendang dan dibelasah tujuh lelaki di pekarangan kolam renang sebuah apartment di Wangsa Maju di Kuala Lumpur kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun sedang barbeku bersama rakannya kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, mangsa dihampiri tujuh remaja berusia 18 hingga 19 tahun dan seorang daripadanya yang dikatakan dikenali mangsa terus menyerangnya.

Menurutnya, mangsa ditendang dan dipukul kerana mereka tidak berpuas hati selepas mendakwanya membuat cerita tidak benar mengenai diri seorang daripadanya.

Katanya, mereka terus melarikan diri selepas memukul mangsa sebelum remaja terbabit tampil membuat laporan polis.

“Susulan itu, polis mengesan suspek sebelum menahan enam orang di Hulu Klang, Ampang pada 9.30 malam tadi.

“Suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 4:42pm
d