mutakhir

Didenda miliki daging lembu tidak disembelih [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PEMANDU teksi didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan memiliki 245 kilogram (kg) karkas lembu yang tidak disembelih di rumah penyembelihan diluluskan, Mei lalu.

Majistret Norasidah A Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Malik Mohamad, 35, selepas orang kena saman (OKS) itu mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki karkas lembu (daging lembu siap dilapah) seberat 245 kg yang tidak disembelih di rumah penyembelihan diluluskan atau dilesenkan di ladang kelapa sawit, No 18, Batu 20, Jalan Sungai Tiram, Kampung Pasir, Ulu Tiram di Johor Bahru, kira-kira 5.45 pagi, 5 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, OKS didakwa mengikut sub kaedah 5(3) Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953 (Pindaan) 2013 (Akta A1452) dan boleh dihukum mengikut kaedah 17 (pindaan) 2018 kaedah sama dengan hukuman denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor, Mohd Faiz Ajis memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas perbuatan OKS itu memandangkan tindakan lelaki berkenaan boleh menyebabkan mana-mana haiwan ternakan itu dipercayai mendapat penyakit Brusellosis.

Katanya, penyakit itu disebabkan oleh kuman bakteria dan boleh menyebabkan keguguran, bengkak testis atau zakar dan kemandulan.

“Penyakit ini bukan hanya berjangkit dari haiwan kepada haiwan sahaja, sebaliknya boleh berjangkit kepada manusia,” katanya.

Bagaimanapun, OKS yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan memandangkan hanya bekerja sebagai pemandu teksi dan mempunyai anak sebagai tanggungan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda dan turut memerintahkan OKS dipenjara lima bulan jika tidak membayar denda berkenaan.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 5:08pm
d