mutakhir

Jho Low penasihat tidak rasmi Najib?

Oleh Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar

SEORANG saksi mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini bahawa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat tidak rasmi kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Amhari Effendi Nazaruddin, 43, yang juga bekas pegawai khas Najib berkata, hal itu kerana tiada surat rasmi yang mengatakan Jho Low adalah penasihat kepada Najib.

Amhari berkata demikian ketika menjawab soalan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sesi pemeriksaan balas pada prosiding kes membabitkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Menjawab soalan Muhammad Shafee mengapa beliau dalam keterangan sebelum ini mengatakan Jho Low menjalankan tugasnya secara sulit, Amhari berkata, hal itu kerana tidak ramai orang lain yang rapat dengan Najib dan seorang daripada mereka ialah Jho Low.

Saksi kelapan itu berkata, Jho Low sering berbincang dengan Najib dan melaksanakan tugasnya secara sulit dan tertutup menyebabkan tidak ramai yang mengetahuinya.

Katanya, hanya Allahyarham Datuk Seri Azlin Alias (bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib) dan beberapa individu lain yang tahu.

SHAFEE: Adakah Perdana Menteri (Najib) layak untuk mempunyai penasihat secara peribadi?

AMHARI: Saya setuju.

SHAFEE: Apa maksud awak sebagai pencatur (merujuk kepada peranan Jho Low)?

AMHARI: Pencatur dalam konteks ini merancang dan menyusun sesuatu dan kadang-kadang sebagai ‘planner (perancang)’.

SHAFEE: Adakah pencatur politik Datuk Seri Najib?

AMHARI: Perancang politik. Dia (Jho Low) salah seorang.

SHAFEE: Semua ini hanya diberitahu oleh Jho Low kepada awak?

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Adakah Datuk Seri Najib ada beritahu awak berkenaan perkara ini?

AMHARI: Tiada.

SHAFEE: Awak memberitahu banyak perkara dengan memetik (maklumat) orang lain? Sekarang kenyataan awak banyak yang bercanggah secara jelas?

AMHARI: Tidak setuju.

SHAFEE: Saya cadangkan bahawa keterangan awak tidak konsisten dan awak tidak memberitahu perkara sebenar untuk membabitkan anak guam saya dengan Jho Low?

AMHARI: Tidak setuju.

SHAFEE: Awak bekerjasama dengan Jho Low kerana mendapat ganjaran iaitu AS$800,000 di Singapura dan AS$200 juta dalam bentuk pinjaman yang awak masih lagi tidak membayarnya.

AMHARI: Tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 5:47pm
d