mutakhir

Jalur Gemilang gergasi di EBC

Oleh Abdul Razak Raaff

SEMANGAT ‘Sayangi Malaysiaku’ menjadi inspirasi kepada 26 pendaki termasuk pelakon drama Nur 2, Azhan Rani, merentangkan Jalur Gemilang gergasi di Everest Base Camp (EBC), hari ini.

Kumpulan ekspedisi termasuk lima pengamal media iaitu wartawan BH, Zainuri Misfar dan Abdul Razak Raaff, jurufoto Bernama, Mohd Faizol Abdul Aziz dan wartawan Kosmo, Norzasrudin Mohamed tiba di EBC setinggi 5,364 meter dari paras laut, 10.20 pagi waktu tempatan (12.05 tengah hari waktu Malaysia) selepas mendaki 65 kilometer dari Lukhla ke Gorak Shep, Nepal selama sembilan hari.

Jalur Gemilang gergasi setinggi enam meter dan 12 meter lebar serta seberat 11 kilogram itu berjaya direntangkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Ketua ekspedisi, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berkata, kejayaan itu sungguh bermakna kepada semua peserta kerana terpaksa berhadapan pelbagai cabaran sepanjang melaksanakan misi berkenaan.

Beliau yang juga Pegawai Bomba daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bahru berkata, semangat disiplin tinggi semua pendaki membolehkan mereka mengharungi cabaran utama seperti keadaan cuaca dan suhu serta risiko diserang penyakit akut gunung atau altitude mountain sickness (AMS).

“Kami mula mendaki pada paras ketinggian 2,700 meter dari Lukla dan mengambil masa sembilan hari untuk sampai ke EBC bermula 2 September lalu.

“Secara purata kami berjalan sejauh kira-kira 15 kilometer sehari dalam keadaan cuaca tidak menentu. Kadang kala hujan, panas dan suhu sejuk serendah -10 darjah Celsius.

“Walaupun sebahagian besar peserta kali pertama ke EBC, tetapi mereka cekal mengharungi semua cabaran dihadapi berkat latihan fizikal dan mental yang diadakan sebelum mengikuti ekspedisi ini.

“Saya juga berterima kasih kepada rakan dan rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan serta kejayaan misi kami,” katanya di Gorak Shep, hari ini.

Mohd Fakhrul berkata, peserta ekspedisi yang mahu mempromosi amalan gaya hidup sihat dan menyemarakkan sambutan kemerdekaan sebagai rakyat Malaysia ini turut mendaki Gunung Kala Patthar setinggi 5,550 meter.

Ekspedisi pendakian kali ini adalah anjuran Summit Attack Resources (SAR).

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 7:36pm
d