mutakhir

UA perlu kreatif menjana pendapatan

Oleh Fairuz Zaidan

UNIVERSITI Awam (UA) di negara ini perlu kreatif dalam menjana pendapatan termasuk meningkatkan kerjasama dengan sektor korporat dan swasta bagi mempelbagaikan sumber pembiayaan khususnya dalam bidang penyelidikan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, setakat ini institusi pengajian tinggi (IPT) banyak bergantung serta mengharapkan bantuan kerajaan terutama berkaitan geran penyelidikan.

Bagaimanapun katanya, ada universiti sudah mula bersikap kreatif dalam melancarkan tabung pembiayaan serta tabung wakaf termasuk bekerjasama rapat dengan pihak swasta dan korporat.

“Kita menggalakkan lebih banyak syarikat swasta memberikan sumbangan dalam bentuk geran penyelidikan serta bentuk pembiayaan lain selain tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan lain-lain kerana kita mempunyai insentif pengecualian cukai kepada mereka yang memberikan sumbangan itu.

“Macam hari ini, kita dapat lihat sumbangan endowmen dari sebuah syarikat swasta Xinyi Glass Co Ltd (HK) kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjumlah RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada program Town Hall ‘Let’s Gather’ Bersama Menteri Pendidikan Malaysia 2019 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Alor Gajah hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Ir Dr Siti Hamidah Tapsir; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali dan Naib Canselor UTeM, Prof Dr Raha Abdul Rahim.

Ditanya adakah ada dasar baharu kementerian termasuk memberikan autonomi kepada UA bagi membolehkan mereka menaikkan yuran pengajian, Dr Maszlee berkata, UA memang mempunyai kuasa dalam dalam menguruskan kewangan tetapi mereka masih mengharapkan bantuan kerajaan.

“Universiti memang mempunyai kuasa dalam menguruskan kewangan mereka, cuma mereka masih mengharapkan bantuan kerajaan berkaitan geran penyelidikan dan beberapa isu lain yang ada dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sedia ada,” katanya.

Terdahulu, program Town Hall ‘Let’s Gather’ bersama Dr Maszlee dihadiri lebih 4,000 mahasiswa dan pelajar dari 52 IPT dan kolej pengajian di seluruh negeri itu.

Program yang julung kali diadakan itu adalah platform untuk Dr Maszlee menzahirkan aspirasi kerajaan dan menyebarkan inisiatif Kementerian Pendidikan kepada golongan mahasiswa dan pelajar.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 7:57pm
d