mutakhir

Seberang Perai bandar raya 16 September ini

Oleh BERNAMA

SEBERANG Perai bakal diisytihar bandar raya pada Hari Malaysia 16 September ini, menurut anggota EXCO Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo sudah menyerahkan surat bagi pengisytiharan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kepada Istana Negara untuk mendapat perkenan.

“Dengan pengisytiharan itu, kedua-dua pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang akan menjadi majlis bandaraya,” katanya di Georgetown hari ini.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperoleh status bandar raya pada 2015.

Jagdeep berkata, untuk diklasifikasikan sebagai bandar raya, pihak perbandaran harus memenuhi prasyarat tertentu seperti mempunyai 500,000 penduduk, pendapatan tahunan lebih RM100 juta dan mempunyai kemudahan seperti kawasan perindustrian, institusi pendidikan, kemudahan perubatan, institusi kewangan dan kemudahan untuk menarik pelabur ke negeri itu serta pembangunan yang memberi tumpuan kepada pembangunan mampan.

Beliau berkata, Presiden MPSP Datuk Rozali Mohamud akan dilantik sebagai Datuk Bandar Seberang Perai sebaik saja memperoleh status itu.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 11:29pm
d