mutakhir

'Teriak' minta belas ihsan

Oleh Shamsul Munir Safini

WANITA warga asing menangis teresak-esak meminta belas ihsan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang supaya tidak diambil tindakan selepas mereka diberkas kerana tiada dokumen perjalanan sah di sebuah kilang mencuci pakaian hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, tiga wanita warga asing itu berusia antara 20 hingga 40 menangis minta supaya dilepaskan selepas premis mereka diserbu JIM negeri.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, dalam operasi yang disertai sembilan pegawai dan anggota itu, pihaknya menyerbu sebuah kilang mencuci pakaian di Jalan Perak selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.

“Hasil serbuan pihaknya mendapati pemilik premis menggaji warga asing sebagai pekerja dan memeriksa semua 23 mereka terdiri daripada lelaki dan perempuan.

“Hasilnya, polis mengesan 17 daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja sah sebelum ditahan,” katanya.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki Bangladesh, 11 wanita Indonesia dan seorang wanita Myanmar.

Katanya, ada sebahagian daripada wanita Indonesia yang ditahan menangis agar tidak ditahan dengan memberi pelbagai alasan termasuk kesempitan hidup dan perlu bekerja bagi menyara keluarga dan sebagainya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan pemilik premis dipanggil untuk memberi keterangan lanjut.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 1:59am
d