mutakhir

Bayi 'modal' untuk mengemis

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BAYI tiga bulan diselamatkan dalam Operasi Papa dan Pengemis oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah sewaktu ibunya yang dipercayai penagih dadah sedang mengemis di Alor Setar, malam tadi.

Bayi perempuan itu dipercayai dijadikan “umpan” oleh ibunya yang berusia 30-an untuk mendapatkan wang dengan jalan mudah.

Wanita itu mendakwa mempunyai suami yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu selain mempunyai tiga anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, wanita itu mendakwa bayi perempuan itu dipercayai lahir hasil anak dengan lelaki lain sebelum berkahwin dengan suaminya itu.

Berikutan itu, bayi perempuan itu diambil oleh JKM selepas hasil ujian saringan awal mendapati ibunya positif dadah.

Operasi turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad dan Pengarah JKM Kedah, Azmi Abdul Karim.

Selain itu operasi turut disertai pelbagai agensi termasuklah Jabatan Kesihatan Kedah, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pejabat Agama Negeri Kedah.

Operasi yang bermula 6 petang hingga 12.30 tengah malam itu tertumpu di 14 lokasi iaitu dua di Kubang Pasu dan 12 di pusat bandra raya Alor Setar, termasuk di kawasan bank.

Halimaton Shaadiah berkata, operasi besar-besaran itu berikutan maklumat yang diterima sebelum ini mendapati ada sindiket yang dipercayai mengeksploitasi anak yatim, bayi dan kanak-kanak selain OKU serta warga asing untuk mengemis.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai 16 orang berjaya diselamatkan iaitu tiga membabitkan kanak-kanak, seorang wanita warga emas, dua OKU dan tujuh lelaki dewasa dan seorang wanita.

“Lima kes dihantar ke Rumah Seri Kenangan, Bedong untuk mendapatkan tindakan mahkamah, manakala empat daripadanya diserah kepada AADK, dua daripadanya dibebaskan dengan amaran, tiga kanak-kanak diserahkan kepada Pelindung Kanak-Kanak Kota Setar dan dua daripadanya diserahkan kepada JIM.

“Dua lelaki warga asing dari Kemboja dan Thailand diselamatkan ketika mengemis di pasar malam di Kepala Batas, malam ini dan kita percaya berkemungkinan besar mereka dihantar sindiket,” katanya sejurus operasi tamat semalam.

Halimaton Shaadiah berkata, selain itu mereka turut mengedarkan risalah supaya orang ramai tidak menyalurkan sumbangan kepada golongan pengemis kerana mereka dihantar oleh sindiket sehingga ada yang mampu memperoleh pendapatan sehingga RM500 untuk satu malam.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 9:32am
d