mutakhir

Bicara tangguh, Najib sakit mata

Oleh Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar

PERBICARAAN kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ditangguhkan berikutan Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengalami sakit mata.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dan isteri menghubunginya pada 7.15 pagi, hari ini memaklumkan perkara itu.

“Keadaan matanya masih tidak diketahui memandangkan Najib akan pergi berjumpa pakar mata di Pusat Mata Mid Valley, pada 10.30 pagi ini. Ketika ini beliau masih di rumah.

“Ia terjadi selepas beliau keluar menghadiri pertemuan petang semalam dan keadaan cuaca jerebu menyebabkan ia makin teruk. Hanya selepas berjumpa pakar mata itu, kita akan mengetahui berapa hari anak guam saya mendapat cuti sakit,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak mengemukakan sebarang bantahan dan hanya menunggu sijil cuti sakit dikemukakan kepada mahkamah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan jika hanya satu hari, esok prosiding itu bersambung semula.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan jika cuti sakit diberikan dua hari, prosiding bicara itu akan bersambung Selasa depan.

Sebelum ini ketika perbicaraan membabitkan kes dana SRC International Sdn Bhd, Najib mendapat cuti sakit selama tiga hari selepas mengalami jangkitan kuman di kedua-dua belah matanya.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 11:36am
d