mutakhir

'Jangan panggil, letih terlajok '

Oleh Nor Amalina Alias

“KAMI dah jalani semua pemeriksaan di hospital dan berpuluh-puluh orang datang berubat namun buntu mengenai penyakit misteri yang dihadapi anak secara tiba-tiba,” kata ibu kepada kanak-kanak yang videonya tular kononnya terkena gangguan makhluk halus di Kampung Lubuk Kuin, Gunung.

Kasmani Abu Bakar, 46, berkata pada asalnya, Rizqi Iskandar Mohd Din, 10, hanya demam biasa, namun berlarutan sehingga dua minggu menyebabkan anak ketujuh daripada lapan beradik itu dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Katanya, ketika berada di hospital, anaknya menjadi tidak berselera makan dan pihak hospital juga sudah menjalani pemeriksaan deman denggi, kepialu, jantung, hati dan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), namun gagal mengesan sebarang penyakit.

“Sejak 18 Ogos, anak tidak mahu makan dan minum, sebaliknya hanya bergantung pada susu khas yang dimasukkan ke badannya menggunakan tiub.

“Kami sekeluarga juga sudah mendapatkan rawatan hospital dan lebih 40 pengamal perubatan, namun keadaan anak tetap tidak sembuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Kuin, Gunung, di Bachok, semalam.

Kasmani berkata, disebabkan keadaan anaknya, suaminya, Mohd Din Mohd Noor, 49, yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM70 sehari tidak dapat bekerja kerana Rizqi yang dipanggil adik Iki memerlukan penjagaan 24 jam.

Katanya, sebagai ibu, dia sedih melihat anaknya hanya mampu terlantar dengan badan yang lesu, berbanding sebelum ini sikap anaknya yang periang sebelum ditimpa sakit.

Dia berkata, keluarganya juga terkilan dengan penularan video anaknya yang dikatakan disampuk ‘hantu’ selepas membuka penutup botol yang ditemui kerana cerita itu tidak benar.

“Jangan tambah kesedihan kami, kami sendiri dah berubat bermacam-macam cara untuk sembuhkan anak. Kami berharap anak kami sembuh seperti biasa, apatah lagi dia masih kecil dan bersekolah,” katanya.

Katanya, adik Iki kini perlu minum susu khas setiap empat jam sekali menyebabkan dia memerlukan perbelanjaan yang tinggi termasuk membeli lampin pakai buang sekitar RM90 sehari.

Sementara itu, adik Iki hanya terbaring dengan tangannya yang ada kalanya menggigil dan hanya menyebut ‘jangan mari, jangan panggil, letih terlajok (letih sangat)’ setiap kali ada orang datang melawat.

Baru-baru ini tular rakaman video, kononnya adik Iki tersampuk jin yang tidak mahu keluar dari badannya selepas dia membuka penutup botol yang ditemui yang dikongsi beberapa halaman di Facebook dan mendapat lebih 3,800 tontonan.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 12:36pm
d