mutakhir

Kanak-kanak perempuan mati dipercayai didera

Oleh Nur Saliawati Salberi

KANAK-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dipercayai didera secara fizikal dan seksual di sebuah rumah di Kandang, Melaka, semalam.

Kanak-kanak berkenaan dikatakan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka jam 2 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasangan suami isteri yang juga pengasuhnya.

Difahamkan, kanak-kanak itu dalam jagaan penjaga sejak akhir Julai lalu selepas diserahkan oleh ibu saudaranya.

Sumber berkata, sebaik tiba di unit kecemasan, pegawai perubatan cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) namun gagal.

“Bagaimanapun berdasarkan kesan lebam serta parut di kepala dan paha, kanak-kanak itu dipercayai didera.

“Susulan itu pasangan suami isteri berusia 45 dan 36 tahun ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris mengesahkan kejadian dan penahanan dua suspek.

“Kita masih menunggu laporan proses bedah siasat yang dijalankan hari ini.

“Kedua-dua suspek pula dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi permohonan reman,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 1:03pm
d