mutakhir

Seksa pembantu rumah

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

DIKURUNG, dipukul, dibiarkan kebuluran dan tidak dibayar gaji. Itu penderitaan empat wanita Indonesia disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia di sebuah kondominium berhampiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, sejak tahun lalu.

Kesengsaraan itu berakhir apabila mereka berjaya melarikan diri melalui pintu belakang kondominium kira-kira jam 9 pagi semalam sebelum meminta bantuan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, ketika anggotanya sedang membuat rondaan cegah jenayah di Jalan Pinggir TTDI, mereka ditahan seorang mangsa pada jam 9.45 pagi.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah itu meminta bantuan untuk diselamatkan berikutan diseksa majikan.

“Keempat-empat mangsa yang berusia antara 26 hingga 41 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis TTDI untuk siasatan lanjut.

“Mereka mendakwa sudah bekerja sebagai pembantu rumah antara tempoh enam bulan hingga setahun dan diseksa majikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arifai berkata, susulan itu anggotanya melakukan serbuan pada jam 1.30 tengah hari di sebuah agensi pekerjaan di Klang, Selangor dengan dipandu arah dua mangsa pada hari sama.

“Seorang wanita berusia 41 tahun yang dipercayai majikan kepada keempat-empat mangsa ditahan semasa serbuan berkenaan.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk pemeriksaan serta diberikan perlindungan sementara sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 2:53pm
d