mutakhir

Titik panas bukan punca utama jerebu

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SEHINGGA semalam, lima kawasan titik panas dikesan di seluruh Malaysia, kata Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Simon.

Menurutnya, ia kebanyakannya dikesan di Rompin, Pahang; Johor dan Miri, Sarawak.

“Maklumat ini diperoleh menerusi analisis Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC), yang berdasarkan data satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA).

“Data satelit NOAA turut digunakan memantau situasi jerebu di Asia Tenggara.

“Satelit terbabit akan mengumpulkan maklumat harian sehingga 6 petang sebelum dapatannya diproses dan kemudian sekitar 9 malam, barulah ia akan dimuat naik ke laman sesawang untuk maklumat umum,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jailan berkata, jumlah titik panas itu disifatkan terlalu sedikit dan bukan penyebab utama kepada masalah jerebu yang melanda negara ketika ini.

Katanya, ketika ini tiupan angin barat daya tetapi kawasan yang terjejas teruk di Semenanjung adalah Lembah Klang dan amat mustahil ia berpunca dari titik panas di Rompin atau Johor.

“Begitu juga di Sarawak, kawasan titik panas adalah di kawasan utara dan tengah iaitu di Miri, jika mengikut arah haluan angin, tidak mungkin Kuching dilanda jerebu teruk,” katanya.

Menurutnya, tiupan angin dari arah barat daya dijangka sehingga awal Oktober depan, namun ia bukan secara berterusan.

“Begitu juga dengan keadaan jerebu kerana ia turut berkait dengan faktor arah angin semasa, justeru orang ramai dinasihat mengehadkan aktiviti di luar rumah selain memakai penutup hidung yang disyorkan Kementerian Kesihatan.

“Lebih mustahak, jangan lakukan pembakaran terbuka ketika ini kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan jerebu,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 4:21pm
d