mutakhir

Janda kelar tangan bekas kekasih

Oleh Fardy Bungga

JANDA yang berang selepas ditinggalkan bekas kekasihnya bertindak mengelar tangan lelaki itu dengan pisau kertas di sebuah kondominium di Sembulan, Kota Kinabalu semalam.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, wanita berusia 30-an berkenaan dikatakan ke rumah mangsa untuk berbincang tetapi pertemuan terbabit mencetuskan pertengkaran mulut antara mereka.

Tiba-tiba wanita itu mengeluarkan pisau kertas sebelum bertindak mengelar tangan mangsa sehingga berlumuran darah.

Difahamkan, wanita itu mengenali mangsa di sebuah kelab malam sebelum menjalinkan hubungan cinta selepas itu.

Hubungan pasangan itu terputus sejak Ogos lalu dan itu dipercayai menjadi punca ketidakpuasan hati wanita itu terhadap mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Rakhman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan luka dan terpaksa menerima lapan jahitan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

“Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 6:00pm
d