mutakhir

UMT dan UniSZA bakal bergabung

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

JEMAAH Menteri yang bermesyuarat pada 4 September lalu bersetuju secara prinsip dengan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, penggabungan itu dilihat sebagai salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi.

Katanya, penggabungan itu penting untuk memantapkan keupayaan universiti dalam mempertingkat kedudukan sosio ekonomi, selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025 (Pendidikan Tinggi).

“Inisiatif ini juga akan memacu pembangunan industri Terengganu di samping menangani persaingan sesama universiti untuk mendapatkan pelajar, kakitangan dan sumber.

“Penggabungan institusi adalah satu langkah yang wajar dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.

“Ini melalui penjajaran semula tenaga kepakaran universiti dan kemudahan infrastruktur sedia ada yang boleh diguna pakai,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, perkara sama dilaksanakan oleh universiti dan kolej di beberapa negara antaranya University of Manchester dan University of Manchester Institute of Science & Technology (UMIST) di United Kingdom.

“Penggabungan institusi juga berlaku di Australia dan Amerika Syarikat di mana penggabungan institusi pendidikan tinggi dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keberkesanan, jangkauan, nilai dan daya saing sesebuah institusi baharu.

“Kementerian amat positif dengan cadangan penggabungan ini dan kini sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

“Sebuah Jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil dari kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, serta pelbagai agensi, kementerian dan pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka akan mengambil masa selama enam bulan,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 6:40pm
d