mutakhir

Pencuri kempunan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENCURI hanya sempat melarikan seutas rantai tangan di kedai emas di Tanah Merah, Pendang tidak sampai beberapa minit sebelum dicekup polis semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, lelaki berusia 40 tahun itu dikatakan berpura-pura masuk sebagai pelanggan untuk membeli rantai tangan berkenaan.

Dia dikatakan masuk ke premis itu dan meminta pekerja wanita mengambil rantai tangan berkenaan di dalam cermin pameran untuk melihat lebih dekat.

Namun sebaik pekerja wanita itu menyerahkannya, penjenayah itu terus melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kebetulan ketika itu ada anggotanya menyedari kejadian itu dan mengejar suspek kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Beliau berkata, suspek tidak bernasib baik apabila motosikal ditunggangi terbabas dan terjunam ke dalam longkang.

“Berikutan itu dia ditahan untuk siasatan lanjut.

“Rantai tangan bernilai RM1,000 itu ditemui semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, suspek yang mengalami kecederaan lutut dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Pemeriksaan rekod terhadap suspek mendapati dia memiliki satu rekod berkaitan dadah sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 7:16pm
d