mutakhir

Tiga saksi kes penemuan dadah dicari

Oleh BERNAMA

POLIS Daerah Kluang mencari tiga lelaki warga tempatan untuk menjadi saksi bagi perbicaraan kes berkaitan dadah di Mahkamah Majistret Kluang bulan ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang Asisten Superintendan Azizan Aziz berkata, semua saksi penting itu adalah bekas penghuni Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam yang diperlukan bagi menghadiri perbicaraan pada 13,17 dan 20 September ini berhubung penemuan sejumlah heroin di sebuah bilik penghuni pusat itu, dua tahun lalu.

Katanya, mereka terdiri daripada Wan Muhammad Kumar Abdullah, 41, alamat terakhir di No 23 Solok Sungai Keramat 7C, Taman Klang Utama, Selangor; T Moovinthiran, 28, alamat terakhir di E-14-12 Jalan Miri Off, Taman Beringin, Program Perumahan Rakyat Taman Wahyu 1, Jinjang Utara Kepong, Kuala Lumpur dan N Puvendran, 31, alamat terakhir di No 55 Jalan Sri Raya Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, Melaka.

“Ketiga-tiga individu ini saksi penting kes penemuan sejumlah heroin dalam pakaian suspek lelaki berusia 29 tahun yang juga penghuni bilik nombor tujuh bersama ketiga-tiganya ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung saksi berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di talian 07-7784222.

Pada 7 Mei 2017, pihak penjara menjumpai heroin dalam dua bungkusan kecil berbalut surat khabar seberat 1.6 gram dan 1.7 gram dalam pakaian dipercayai milik salah seorang penghuni bilik pusat pemulihan akhlak berkenaan.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 7:58pm
d