mutakhir

Daging itik panggang dirampas

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan membawa masuk daging itik panggang dari China melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, MAQIS berkata, pihaknya terpaksa merampas produk makanan itu kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah seperti Permit Import dan Sijil Kesihatan dari negara asal.

Menurutnya, produk makanan itu dikesan menerusi pemeriksaan ke atas seorang warga China di Balai Ketibaan Antarabangsa klia2, kira-kira 11 pagi.

“Pegawai MAQIS mendapati seorang warga China membawa sebanyak 10 kilogram daging itik panggang yang diletakkan di dalam sebuah kotak. Daging itik tersebut dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri. Daging itik bernilai RM1,000 tersebut dirampas dan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Perbuatan mengimport apa apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Jabatan MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), Akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, pegawai MAQIS di pintu masuk sentiasa tegas, cekap dan teliti dalam menjalankan aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua pintu masuk seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

“Langkah ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 10:54am
d