mutakhir

'Maaf, beri ruang pada kami' - bapa saudara

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“MAAF, mohon beri ruang kepada kami sekeluarga. Saya tidak dapat ulas lanjut sebab kes masih dalam siasatan polis. Lagipun penjaga adalah dalam kalangan saudara,” kata bapa saudara kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang maut selepas dipercayai didera secara fizikal dan seksual di sebuah rumah di Kandang, Melaka, 10 September lalu.

Jenazah kanak-kanak perempuan itu dituntut bapa saudara yang memeliharanya sejak kecil di Hospital Melaka kira-kira jam 10 pagi selepas selesai proses bedah siasat sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek Serkam.

Kira-kira 30 ahli keluarga termasuk ibu bapa kandung dan saudara mara menghadiri pengebumian di Tanah Perkuburan Serkam, Merlimau, Jasin yang selesai jam 11 pagi.

Harian Metro semalam melaporkan kanak-kanak berkenaan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka jam 2 pagi, 10 September lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasangan suami isteri yang juga pengasuhnya.

Difahamkan, kanak-kanak itu dalam jagaan penjaga sejak akhir Julai lalu selepas diserahkan oleh ibu saudaranya.

Sumber berkata, sebaik tiba di unit kecemasan, pegawai perubatan cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) namun gagal.

“Terdapat kesan lebam serta parut di kepala dan paha kanak-kanak itu dipercayai didera.

“Susulan itu pasangan suami isteri berusia 45 dan 36 tahun ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Berita berkaitan

Suami isteri dera budak direman [METROTV]

Kanak-kanak perempuan mati dipercayai didera

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 12:28pm
d