mutakhir

Kenapa longgok kat situ?

Oleh Nazri Abu Bakar

TIMBUNAN puluhan kotak yang mengandungi pelbagai produk mandian serta pencuci ditemui dilonggokkan di ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Lendu Hilir, Melaka pagi tadi.

Longgokan produk seperti sabun, syampu serta pewangi pakaian berjenama terkenal itu ditemui penduduk kira-kira 10 pagi sekali gus menimbulkan tanda tanya masyarakat di kawasan berkenaan.

Penduduk dari Kampung Air Cantik, Hamdan Saleh, 35, berkata, longgokan barangan keperluan harian itu mengundang tanda tanya, selain dibimbangi memberi impak terhadap alam sekitar serta keselamatan penduduk.

Menurutnya, penduduk juga khuatir status produk yang ditinggalkan itu dan tertanya-tanya mengapa ia dilonggokkan di ladang kelapa sawit itu.

“Saya bimbang tumpahan kandungan produk sabun itu boleh mengalir masuk ke dalam Sungai Lendu terutama apabila hujan lebat. Ia sudah tentu boleh menjejaskan ekosistem sungai.

“Kita tidak tahu apa motif sebenar produk ini dilonggokkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di dalam ladang kelapa sawit.

“Pembuangan produk itu tidak seharusnya berlaku kerana kita turut bimbangkan keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, tinjauan di kawasan berkenaan mendapati sesetengah produk yang ditinggalkan itu masih boleh digunakan berpandukan kepada tarikh luput barangan berkenaan.

Keadaan itu sekali gus mengundang tanda tanya mengenai motif dan sebab produk terbabit dilonggokkan di dalam ladang kelapa sawit berkenaan.

Bekas sidang Kampung Lendu, Yunos Baba, 60, berkata, lokasi ladang kelapa sawit itu adalah antara tempat tumpuan aktiviti pembuangan sampah haram kerana kedudukannya yang agak tersembunyi serta jauh daripada penempatan penduduk.

“Saya menyeru supaya tindakan pembersihan segera dibuat bagi memastikan kawasan ini tidak terus menjadi tempat pembuangan sisa barangan tidak sepatutnya.

“Pemantauan secara berterusan perlu dibuat bagi memastikan tiada pihak yang sewenangnya membuang pelbagai sampah dan barangan pukal lain di kawasan ini,” katanya.

Yunos berkata, pihak berkuasa harus memasang papan tanda melarang pembuangan sampah termasuk sisa bahan binaan di kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Pembersihan Awam (SWCorp) negeri Khairuladha Ab Mutalib, ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.

“Sebaik mendapat laporan daripada orang awam, penguat kuasa SWCorp Melaka segera menjalankan siasatan di lokasi berkenaan petang tadi dan turut mengambil sampel produk di lokasi kejadian untuk tujuan siasatan.

“Kita juga akan berbincang dengan syarikat konsesi dan tuan tanah mengenai kerja pembersihan.

“Buat masa ini, kita juga sudah mengambil sampel alamat berdasarkan pada timbunan kotak yang ditemui untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam (Akta 672), individu atau syarikat yang menyebabkan longgokan sampah haram itu boleh didenda RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Khairuladha berkata, pihaknya menyeru orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat kepada SWCorp Melaka dengan menghubungi talian 18007472 atau 06-2838953.

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 6:01pm
d