mutakhir

Cinta palsu jejaka Korea

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

PERKENALAN seorang wanita dengan lelaki yang didakwa dari Korea memusnahkan hidupnya selepas diperdayakan hingga terperangkap dengan pinjaman along.

Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, wanita berusia 33 tahun itu mengenali lelaki Korea terbabit menerusi media sosial sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, tertarik dengan ketampanan lelaki itu menyebabkan dia mula menaruh hati sebelum mereka berinteraksi dengan lebih mesra.

“Lelaki itu juga mendakwa dia bekerja dalam industri minyak dan gas dan kini sedang membantu perniagaan bapanya di London.

“Dalam tempoh perkenalan itu, lelaki berkenaan pernah meminta wanita itu memasukkan wang sebanyak RM9,000 ke satu akaun bank tempatan untuk membantunya membeli bahan kimia daripada seorang individu di Malaysia.

“Mangsa yang juga menganggur itu mengeluarkan wang simpanan untuk memenuhi permintaan lelaki berkenaan,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, mangsa akhirnya bertemu dengan lelaki itu di Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu dan mengadakan hubungan seks sebelum pulang.

“Terdahulu, lelaki itu juga berjanji untuk berkahwin dengan mangsa dan membawanya ke London pada tahun depan.

“Nasib mangsa lebih malang apabila dia meminjam wang berjumlah RM30,000 daripada enam along untuk membantu lelaki itu dalam perniagaan.

“Kini, dia bukan hanya diganggu along tetapi lelaki itu sudah juga tidak berhubung dengannya lagi,” katanya.

Chong berkata, pihaknya menerima pelbagai kes seumpama ini dan meminta masyarakat lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh.

“Fikirlah secara waras dan jangan disebabkan kemaruk cinta membuatkan kita sanggup lakukan apa saja,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 6:10pm
d